KUALA LUMPUR – Satu majlis khas akan diadakan di Pejabat Rela Wilayah Persekutuan, di Jalan Hartamas 1, pada Ahad ini.
Dikhabarkan Presiden Persatuan Seniman Malaysia (Seniman), Zed Zaidi akan menerima penghargaan daripada Kementerian Dalam Negeri dalam bentuk pangkat dalam Pasukan Sukarelawan Malaysia (Rela) nanti.
Tetapi apakah pangkat yang akan diberikan kepada Zed atau nama sebenarnya Rozaidi Abdul Jamil, 33, masih belum dikatahui.
Menerusi Mstar, Zed memberitahu dia sudah mengetahui tentang majlis penerimaan pangkat tersebut namun tidak mengetahui apakah pangkat yang bakal diberikan kepadanya kelak.
“Saya sudah dimaklumkan mengenai pelantikan itu tetapi saya tidak pasti pangkat apakah yang akan diberikan kepada saya,” katanya.
Tambah Zed, pemberian pangkat itu adalah kerana sumbangan beliau terhadap aktiviti sukarela yang dilakukan melibatkan artis menerusi Persatuan Seniman yang diterajuinya selama ini.
Katanya, ia adalah satu penganugerahan yang amat besar kerana ia sebuah penghargaan kerajaan terhadapnya melebihi anugerah seni yang diterima oleh artis-artis tempatan.
“Saya bersyukur kerana pihak kerajaan menghargai kerja-kerja sukarela yang saya lakukan selama ini menerusi medium seni,” jelasnya.
Difahamkan ia adalah majlis pemakaian pangkat dan watikah pelantikan yang akan dilakukan oleh Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin.
Oleh: NURUL NAFISAH MAZLAN
0 comments:
Post a Comment